Isu penggantungan Safee Sali diselesaikan segera


Pengurus harap masalah Safee selesai segera

PENGURUS Safee Sali, Zakaria Rahim yakin masalah yang dihadapi penyerang kebangsaan itu ekoran penggantungan kelabnya, Pelita Jaya dan 31 kelab lain oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

"Saya tak boleh komen, tapi apa yang boleh saya katakan masalah ini akan diselesaikan dengan segera," kata beliau ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad yang mengesahkan bintang penyerang Pelita Jaya itu tidak boleh lagi membantu skuad negara di pentas antarabangsa ekoran keputusan penggantungan itu.

"Bagi saya kedudukan Safee tetap selamat dan beliau masih boleh beraksi bersama skuad kebangsaan," kata Zakaria kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya nasib Safee yang tidak dibenarkan beraksi bersama skuad Harimau Malaya sehingga PSSI bersidang pada satu Kongres mereka hujung tahun ini.

Dalam pada itu, Zakaria turut menegaskan masalah tersebut hanyalah salah faham yang timbul di peringkat Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI).

"Kami sudah merujuk kepada kelab itu dan biarlah mereka yang menguruskannya.

"Lagipun, bagi saya masalah ini tiada isu sebenarnya. Ini hanyalah salah faham. Apa pun, kami akan cuba membantu Safee dan Pelita Jaya sendiri sudah membuat kenyataan kepada media Indonesia mengenai isu ini," jelas beliau lagi.

Menurut laporan berita tempatan hari ini, penyerang prolifik negara itu tidak dibenarkan beraksi dalam mana-mana pertandingan termasuk menyertai latihan skuad kebangsaan ekoran kelab disertainya, Pelita Jaya digantung bersama 31 kelab lain oleh Fifa.

Azzuddin mengesahkan beliau telah menerima salinan surat penggantungan daripada PSSI yang turut melibatkan setiap pegawai dan pemain kelab Liga Super Indonesia.

Ini bermakna Safee turut digantung daripada beraksi dalam mana-mana pertandingan termasuk menyertai latihan bersama skuad kebangsaan.

Dalam pada itu, laman Facebook fanpage yang didaftar atas nama ‘Muhd Safee Sali’ juga menyatakan perkara sama, pagi ini.

“Safee mungkin tidak akan bermain untuk Malaysia pada AFF Suzuki Cup disebabkan penggantungan oleh PSSI/FiFA,” kata laman fanpage itu.

Kenyataan yang dibuat sekitar  jam 8 pagi tadi itu mendapat pelbagai reaksi daripada peminat Safee.

Mohamad Nazren menyatakan, Safee Sali tidak ada dalam (senarai) pemain utama, rasa macam tak garang la.”

Stanly Japang pula menulis, “orang suruh tinggalkan Pelita tidak mahu, kan sudah kena.”

Peminat bernama Raimi Ramli pula berkata, “tak apa bro, yang penting terbaik dari Malaysia.”

Penggantungan Safee turut dirasai oleh jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal.

Beliau menyatakan bahawa perkara itu sukar untuk diterima terutama buat pasukan kebangsaan, namun Rajagobal tetap berharap akan ada berita baik.

sumber sinar
Ranking: 5

Komen Di Sini

Post a Comment

Komehlah dan klik G+ di atas sekali okey^^

 
Google PageRank Checker Powered by  MyPagerank.Net