Pelakon Almy Nadia hilang keyakinan

Almy Nadia Hilang Keyakinan Kerana Tiada Tawaran Lakonan

Pelakon Almy Nadia mengakui ketiadaan tawaran lakonan sejak kebelakangan ini menyebabkan dia hilang keyakinan diri untuk muncul di khalayak umum.

Almy atau nama sebenarnya Almy Nadia Aminuddin Shah, 26, berkata, tahun ini merupakan tempoh paling perit dan tidak stabil dalam kerjayanya apabila dia sudah tidak menerima tawaran lakonan sejak tiga bulan lalu.

"Tahun ini adalah tempoh paling perit dalam kerjaya saya. Kebetulan saya mengalami masalah kesihatan yang tidak menentu dan ada beberapa masalah peribadi yang timbul sejak awal tahun ini.

"Sejujurnya, saya sudah tidak menerima tawaran lakonan sejak tiga bulan lalu sehingga hari ini. Keadaan itu menyebabkan saya menjadi pemalu, rendah diri dan hilang keyakinan untuk muncul di khalayak," katanya.

Almy berkata demikian ketika ditemui pada program Jelajah Anugerah Skrin (ASK) 2012 di pusat beli-belah e @ Curve, Mutiara Damansara di sini, petang Ahad.

Katanya, keadaan itu bagaimanapun tidak mematahkan semangatnya untuk terus mengintai peluang lakonan walaupun terpaksa bersaing dengan muka-muka baru.

"Mungkin ada silapnya pada diri saya sendiri yang selama ini kurang mesra atau tidak pandai menjaga hubungan dengan orang-orang berpengaruh dalam industri ini.

"Dalam kes ini, saya tidak boleh cakap banyak atau menuding jari pada mana-mana pihak kerana persaingan semakin sengit dengan kehadiran bakat-bakat baru.

"Saya tidak mahu mengalah dengan keadaan ini. Malah, saya sematkan dalam diri untuk sentiasa berfikiran positif dan menerima dugaan ini dengan hati terbuka," katanya.

Bagaimanapun, ujar Almy, dia bersyukur kerana mempunyai teman-teman rapat yang sering memberikan tawaran pengacaraan pada majlis-majlis korporat dan acara hiburan.

"Sekarang saya hidup daripada pendapatan bagi kemunculan pada acara-acara dan pengacaraan majlis korporat dan program televisyen.

"Saya bersyukur kerana rakan-rakan rapat yang terdiri daripada orang-orang industri banyak memberikan peluang kepada saya," katanya.

Ditanya mengenai hubungannya dengan aktor Fizz Fairuz, Almy berkata, dia enggan bercerita mengenai perkara itu kerana ia terlalu peribadi untuk dikongsikan selepas pelbagai kontroversi tercetus sebelum ini.

Pada siri kedua program Jejalah ASK 2012 itu, sekitar 3,000 orang awam dianggarkan membanjiri ruang legar pusat beli-belah berkenaan bagi menyaksikan artis-artis kegemaran mereka.

Antara barisan artis yang turut hadir adalah Zamarul Hisham, Adi Putra, Diana Danielle, Fida Ibrahim, Izreen Azminda, Nad Zainal, Diana Amir dan pasangan pengacara ASK 2012 iaitu Awal Ashaari dan Neelofa.

Pemenang pertandingan Pencarian Hos Pantene ASK musim kedua iaitu Muhammad Fadzil Ahmad Shukor, 22, turut diumumkan pada acara itu.

Dengan kemenangan itu, Muhammad Fadzil bakal mengacarakan karpet merah ASK 2012 pada 9 November depan di samping Karl Shafek dan Dynas.

Siri pertama Jelajah ASK 2012 berlangsung di Plaza Gurney, Pulau Pinang pada 14 Oktober lalu.
Ranking: 5

Comment: 1

22 October, 2012 15:07

Rajin berusaha. Kekalkan prestasi yang bagus dan selebihnya serahkan pada Allah swt. DIA yang Maha pengaseh dan Maha penyayang dan DIA yang menentukan rezeki setiap hambanya :-)

Post a Comment

Komehlah dan klik G+ di atas sekali okey^^

 
Google PageRank Checker Powered by  MyPagerank.Net