Mayat lelaki dikerat 6 ditemui di Nibong Tebal.

Mayat lelaki ditemui dalam keadaan mengerikan di Nibong Tebal


Mayat lelaki dalam keadaan mengerikan dengan kepalanya terputus dipercayai dipenggal manakala kedua-dua kaki serta lengannya dikerat ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Parit Paya Kemian, Jalan Sungai Kechil di sini, hari ini.


Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, ACP Mohd Nasir Salleh berkata mayat lelaki yang turut dibakar itu dipercayai berusia lingkungan 30-an ditemui oleh orang awam pada pukul 9.45 pagi ini.
Beliau berkata orang awam yang melalui kawasan berkenaan ternampak unggun api di tepi lorong ladang terbabit dan menghampirinya sebelum ternampak mayat yang telah dikerat itu.

Lelaki itu dipercayai dibunuh dan mayatnya dikerat di tempat lain sebelum dibawa ke ladang yang terletak kira-kira 50 meter dari jalan besar untuk dilupuskan, katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

"Lelaki itu dibunuh dengan kejam apabila kepalanya dipenggal manakala kedua-dua kakinya dipotong dari aras lutut dan tangannya dikerat dari aras siku sebelum dibakar.

"Mayat yang telah dikerat itu dikumpul di dalam plastik hitam sebelum dibawa ke lorong itu dan kemudiannya dibakar," katanya.

Mohd Nasir berkata tiada pengenalan diri ditemui bersama mayat berkenaan kerana hampir keseluruhan badannya terbakar.

"Mayat itu dikenal pasti sebagai lelaki kerana kemaluannya tidak hangus dan dua jari mangsa juga tidak terbakar," katanya.

Beliau berkata pemeriksaan oleh Pakar Patologi Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh mengesahkan lelaki itu meninggal dunia kira-kira tujuh jam sebelum ditemui.

Katanya siasatan awal polis menemui tiga tin berisi bahan bakar yang dipercayai digunakan untuk membakar mayat mangsa berhampiran kawasan kejadian.

"Kita juga percaya lebih daripada seorang suspek terlibat dalam kejadian ini dan mereka membuat persiapan teliti untuk melupuskan mayat mangsa," katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan atau mana-mana balai polis berdekatan. - Bernama


Ranking: 5

Comment: 1

22 May, 2013 00:38

macam macam boleh berlaku di dunia sekarang ni kan

Post a Comment

Komehlah dan klik G+ di atas sekali okey^^

 
Google PageRank Checker Powered by  MyPagerank.Net