Ambang Merdeka sempena Hari Kemerdekaan ke-55


Sambutan Ambang Merdeka meriah.

Sambutan Ambang Merdeka sempena Hari Kemerdekaan ke-55 disambut meriah dengan pertunjukan bunga api dan kibaran Jalur Gemilang oleh pelbagai pihak di seluruh negara.


Turut diadakan sebagai menghayati sambutan kemerdekaan ialah acara deklamasi puisi merdeka, tahlil dan doa selamat, tazkirah serta program bicara warisan jejak Mat Kilau sebagai memperingati jasa pejuang kemerdekaan. Beberapa syarikat seperti KLCC Property Holding Sdn Bhd (KLCCH) dan Resort World Genting mengambil inisiatif mengadakan sambutan ulang tahun kemerdekaan dengan mengadakan pertunjukan bunga api di Taman KLCC dan Genting Highlands.
Walaupun tiada sambutan ambang merdeka secara rasmi di lokasi utama sambutan itu seperti tahun-tahun sebelum ini iaitu di Dataran Merdeka, dianggarkan 6,000 orang hadir di kawasan itu termasuk peserta 'Himpunan Janji Bersih'.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad yang membuat tinjauan di Dataran Merdeka berkata keadaan di situ adalah terkawal.

Kehadiran 205 anggota dan pegawai dari Balai Polis Dang Wangi dan Bukit Aman berjaya memastikan tiada provokasi berlaku pada perhimpunan yang tidak mendapat kelulusan polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu.

"Keadaan terkawal, kebanyakan yang hadir adalah untuk menyaksikan persembahan ambang merdeka dan tembakan bunga api seperti kebiasaan, namun keadaan itu tidak berlaku," katanya sambil menambah tiada sebarang tangkapan dilakukan terhadap peserta perhimpunan itu.
Zainuddin berkata mereka yang hadir mula meninggalkan Dataran Merdeka secara berperingkat selepas tengah malam.

Di KUALA TERENGGANU, sambutan ulang tahun kemerdekaan disambut dengan majlis bacaan Yasin dan doa selamat serta solat hajat di masjid di seluruh negeri.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said hadir di Masjid Tengku Tengah Zaharah yang turut disertai kira-kira 500 orang.

Di SHAH ALAM, sambutan diadakan di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam yang dihadiri Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang turut mendeklamasikan sajak dan disertai exco kerajaan negeri serta kira-kira 15,000 orang.

Sebanyak 56 kontinjen terdiri daripada jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan, pasukan beruniform serta syarikat swasta seperti Telekom Malaysia Bhd dan Tenaga Nasional Bhd menyertai acara sambutan pada malam itu.

Di MELAKA, kira-kira 10,000 orang memeriahkan sambutan ambang merdeka di Dataran Pahlawan dan program dimulai dengan nyanyian lagu Negaraku dan persembahan lagu patriotik sebelum deklamasi puisi oleh 15 deklamator termasuk Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Turut diserikan ialah persembahan koir kemerdekaan daripada agensi-agensi kerajaan sebelum acara kemuncak iaitu pertunjukan bunga api selain acara berbasikal sejauh 20 kilometer dari Dataran Pahlawan ke Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) yang diketuai Mohd Ali.

Sebelum itu, pada sebelah pagi semalam, semangat menyambut ulang tahun kemerdekaan negara juga terserlah apabila 350 penduduk Pasir Mas, Kelantan berjaya menyiapkan Jalur Gemilang yang berukuran 30.48 meter x 4.27 meter daripada 2,350 kilogram beras pulut.

Di BERA, Pahang, lebih 5,600 penduduk orang Asli sekitar daerah berkenaan dilihat bersemangat menyambut ulang tahun kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah masing-masing.

Di SEREMBAN, meskipun mempunyai kekurangan, namun ia tidak menghalang 57 pelajar pendidikan khas masalah pembelajaran Sekolah Menengah Kebangsaan Pendeta Za'ba, Paroi di sini, mengambil inisiatif menghias kawasan sekolah sempena sambutan kemerdekaan negara. - BERNAMA
Ranking: 5

Komen Di Sini

Post a Comment

Komehlah dan klik G+ di atas sekali okey^^

 
Google PageRank Checker Powered by  MyPagerank.Net