Powered by Jasper Roberts - Blog

Dazrin Kamarudin diugut Kerana Watak Johan




Dazrin Kamarudin kini berasa bimbang untuk keluar rumah selepas beberapa kali menerima ugutan peminat yang berasa geram dengan karakter lakonannya sebagai Johan dalam drama bersiri popular Adam & Hawa.

Menurut Dazrin, 24, terdapat segelintir peminat menghantar mesej berbaur ancaman di Twitter yang mencederakannya kerana mereka terpengaruh dengan karakter lakonannya dalam drama yang kini disiarkan di Astro Mustika HD (saluran 134) itu.

“Saya akui fenomena drama itu luar biasa. Jika sebelum ini Nadiya Nisaa menerima pelbagai rungutan dan kemarahan peminat kerana wataknya kini giliran saya pula.

“Drama itu membuatkan saya takut dan bimbang untuk keluar rumah sekarang. Ada (peminat) yang hantar mesej di Twitter mahu mencederakan saya kerana mereka marah dengan watak Johan dalam drama itu,” katanya ketika ditemui mStar Online di sini.

Tambah Dazrin, dia turut berhadapan dengan masalah apabila kereta Mitsubishi 2.0 GT Lancer yang disediakan untuknya dalam drama itu mahu dirosakkan oleh peminat ketika ia di parkir di tempat awam.

“Bayangkan, kereta Mitsubishi putih yang digunakan Johan dalam drama itu pun turut terkena tempiasnya. Ada peminat yang ternampak kereta itu di luar menghantar mesej ugutan untuk mengetuk dan rosakkan kereta itu.

“Saya jadi gelabah juga kerana ia bukan kereta saya, sebaliknya kereta prop untuk penggambaran sahaja,” kongsinya dalam nada ketawa.

Namun, ujar Dazrin, dia bersyukur kerana impak drama arahan Mohd Feroz Kader itu turut melonjakkan populariti dirinya yang masih hijau dalam bidang seni lakon tanah air.

“Pelbagai komen dan kritikan saya terima mengenai lakonan dalam drama itu. Saya ambil semua pandangan itu bagi meningkatkan kualiti lakonan kerana saya masih baru.

“Walaupun tekanan sebagai pelakon makin dirasai, saya gembira dan bersyukur kerana perhatian sebegitu membuktikan khalayak mula menyedari kehadiran saya,” jelasnya yang turut mengacarakan program in Trend di TV2.

Drama 80 episod yang turut dibintangi antaranya Aaron Aziz, Nadiya Nisaa dan Elfaeza Ul Haq itu sedang disiarkan pada setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 10 malam di Astro Mustika HD.
Ranking: 5

Denaihati.com

 
Google PageRank Checker Powered by  MyPagerank.Net