DALAM keghairahan umat Islam membuat pelbagai persiapan untuk menyambut ketibaan Syawal, mereka tidak seharusnya lalai dan leka sehinggakan melanggari etika berbelanja sebagaimana yang ditetapkan oleh Islam.
Ia kerana terlalu gembira barang kali umat Islam tidak menyedari bahawa mereka melanggari etika murni yang ditetapkan oleh Islam iaitu boros dalam perbelanjaan.
Pemborosan ialah mengeluarkan wang atau menggunakan barang secara berlebihan atau cara membazir. Amalan membazir ini amat dilarang oleh Allah sehinggakan Allah menganggap orang yang membazir itu adalah saudara syaitan. Firman Allah bermaksud : "Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada tuhannya." (Surah al-Isra', ayat 27).
Gambaran yang diberikan oleh Allah terhadap orang yang melakukan pembaziran dalam ayat ini amat keras kerana syaitan itu adalah makhluk yang paling ingkar terhadap perintah Allah. Berhubung larangan pembaziran ini juga, diriwayatkan daripada al-Mughirah bin Syu'bah katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kamu menderhaka kepada ibu, menanam anak perempuan hidup-hidup, enggan memberi (menyedekah) miliknya tetapi meminta-minta milik orang lain dan ditegahkan ke atas kamu tiga perkara, iaitu mengada-ngadakan cerita, banyak bertanya dan membazirkan harta." (Riwayat al-Bukhari).
Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis di atas, pemborosan dan pembaziran adalah perbuatan keji dan patut ditinggalkan oleh orang yang mengaku diri mereka benar-benar beriman dengan Islam.
Pemborosan yang sering dilakukan ketika membuat persiapan menyambut Aidilfitri adalah dari aspek pakaian. Maksudnya membeli atau menempah pakaian yang berlebih-lebihan, sehinggakan disediakan sepasang baju untuk dipakai pada pagi raya, petang raya apabila semakin ramai kawan dan sanak saudara datang berkunjung. Sepasang lagi untuk keesokan harinya apabila tiba giliran mereka pula untuk mengunjungi kawan dan saudara mara.
Seterusnya disediakan berpasang-pasang baju lagi untuk menghadiri rumah terbuka yang akan diadakan sepanjang Syawal. Meskipun ia adalah hak golongan berada, tetapi pada hakikatnya Islam memandang perkara ini sebagai suatu pemborosan melampau yang membawa kepada pembaziran. Bahkan ia telah melebihi had kecukupan atau keperluan seseorang.
Rasulullah SAW walaupun menggalakkan kita berpakaian baru dan cantik pada Aidilfitri, namun janganlah sampai terlalu boros sehinggakan membawa kepada pembaziran. Baginda sendiri melarang amalan pembaziran dan tidak pernah melakukan sesuatu perbelanjaan yang melampaui batas.
Pemborosan juga berlaku dari aspek pembelian peralatan dan perhiasan rumah seperti langsir dan perabot. Tidak salah jika kita ingin menjadikan Aidilfitri masa untuk menukar peralatan dan perhiasan rumah, tetapi tidak perlulah dilakukan apabila setiap kali tibanya Aidilfitri. Ini kerana Aidilfitri adalah suatu masa untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan yang paling penting ialah layan mesra sewaktu menerima tetamu.
Dalam pada itu, pemborosan juga berlaku dari aspek ingin menceriakan perasaan anak-anak. Ada segelintir ibu bapa yang melaburkan wang ringgit semata-mata untuk membeli mercun atau bunga api demi menggembirakan anak-anak pada malam Aidilfitri. Selain pembaziran, bermain mercun boleh mendatangkan bahaya dan kemudaratan kepada tubuh badan anak-anak.
Kita perlu sedar bahawa Ramadan yang telah dilalui itu banyak mendidik kita agar sentiasa berjimat cermat dalam berbelanja. Berbekalkan didikan yang kita terima dalam Ramadan ini, kita akan memanfaatkannya untuk mengharungi kehidupan dalam 11 bulan yang akan datang.
Sebenarnya harta kekayaan adalah antara nikmat kurniaan Allah kepada seseorang. Secara tidak langsung, Allah juga menjadikan kekayaan itu sebagai ujian bagi hamba-Nya. Oleh itu, kita seharusnya membelanjakan harta kekayaan dengan baik tanpa dicemari dengan unsur pemborosan yang membawa kepada pembaziran.
Firman Allah bermaksud:"...mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tidak (terlalu) berlebih-lebihan dan tidak (pula terlalu) bakhil (kedekut); dan adalah (perbelanjaan yang baik itu) di antara kedua-duanya (boros dan bakhil)." (Surah al-Furqan, ayat 67).
Diriwayatkan daripada Ibn Umar, katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud : "Tidak boleh berhasad dengki kecuali pada dua perkara, iaitu terhadap seseorang yang dianugerahkan al-Quran dan dia membacanya sepanjang siang dan malam. Juga terhadap seseorang yang dikurniakan oleh Allah harta kekayaan lalu dia membelanjakannya dengan baik pada waktu malam dan juga pada waktu siang." (Riwayat al-Bukhari).
Berpandukan kepada ayat al-Quran dan hadis di atas, Islam tidak melarang umatnya berbelanja, tetapi Islam hanya mengajarkan umatnya tata cara berbelanja dengan betul, iaitu berbelanja secara sederhana.
Ketika berbelanja menyambut Aidilfitri, kita juga seharusnya mengenangkan nasib saudara seagama, yang menyambut Aidilfitri dalam serba kedaifan dan kekurangan.
Mereka juga inginkan kegembiraan seperti orang lain. Oleh itu alangkah baiknya jika kita meninggalkan amalan pemborosan yang keji itu dengan menggalakkan amalan kebajikan seperti bersedekah. Sedikit bantuan atau sumbangan yang kita hulurkan kepada golongan yang tidak berada, ada disediakan ganjaran pahala di sisi Allah.
Komen Di Sini
Post a Comment
Komehlah dan klik G+ di atas sekali okey^^