Pemain T-Team, Mohd Marzuki (kiri) dan Mohd Nuraliff (kanan) mengasak pemain Lions XII, Iqbal Hussein dalam perlawanan Liga Super di Kuala Terengganu, - Foto Bernama
[DIKEMAS KINI] SETELAH tewas dalam tiga perlawanan sebelum ini, pasukan berstatus kelab, T-Team akhirnya bangkit menebus maruah di hadapan penyokong sendiri apabila berjaya meraih tiga mata berharga selepas menang 1-0 ketika turun melayan kunjungan Lions XII petang tadi.
Jaringan tunggal pasukan tuan rumah disempurnakan dengan berkesan oleh pemain tengah, Mohd Badrul Hisham Moris menerusi sepakan penalti pada minit ke-74 sekali gus mengangkat bekas pemain Sime Darby itu sebagai permain terbaik perlawanan petang itu.
Malah ketiadaan penyerang import, Caleb Folan yang direhatkan selepas mengalami kecederaan pada babak pertama perlawanan, sedikit pun tidak merencatkan percaturan skuad kendalian Peter Butler itu untuk terus mengatur serangan dan mengasak benteng pertahanan pelawat.
Beraksi di babak pertama perlawanan menyaksikan tuan rumah bermula dengan penuh semangat dan hampir berada di depan ekoran kelalaian penjaga gawang pelawat, namun dipersiakan penyerang, Abdul Latif Suhaimi seawal minit ke-7 perlawanan.
Empat minit selepas itu, usaha The Titans untuk mencari gol awal sekali lagi digagalkan pemain tengah, Mohd Aizulridzwan Razali apabila rembatan dari luar kotak penalti berjaya didakap kemas penjaga gol, Mohd Izwan Mehbob.
Tuan rumah yang berjaya menguasai hampir keseluruhan perlawanan babak pertama menyaksikan jentera serangan yang diketuai Caleb Folan dan Abdul Latif gagal menyempurnakan beberapa cubaan menarik di depan gol pelawat sehingga wisel penamat ditiup.
Bersambung dibabak kedua perlawanan, kem tuan rumah mula memperkemaskan jentera serangan dengan memasukkan Fauzan Abdullah bagi menggantikan Caleb Folan dengan menampilkan corak permainan yang lebih agresif.
Bola terkena tangan
Begitupun pasukan Lions XII tidak kurang aksinya apabila jentera serangan skuad kendalian V Sundram Moorthy itu berjaya mengucar-ngacirkan benteng pertahanan tuan rumah, dan nyaris mendahului kedudukan menerusi sepakan Gabriel Quak pada minit ke-52 namun berjaya ditepis keluar penjaga gol, Mohd Amirul.
Tersentak dengan cubaan itu, pasukan tuan rumah segera bangkit melancarkan serangan balas dan keghairahan benteng pertahanan Lions XII dalam menepis asakan kem T-Team akhirnya terhukum apabila salah seorang pemainnya menampan bola dengan tangan di dalam kotak penalti, sehingga memaksa pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti kepada The Titans.
Akhirnya kebuntuan tuan rumah dalam mencari gol direalisasikan pemain tengah, Mohd Badrul Hisham Moris apabila sepakan penalti yang diambilnya terus menerjah jaring, sekali gus menewaskan penjaga gawang pelawat, Mohd Izwan pada minit ke-74.
Gol tersebut nyata menyentap semangat juang pasukan Lions XII yang cuba bangkit pada minit-minit akhir permainan, namun ketumpulan jentera serangan mereka menggagalkan hasrat pasukan itu untuk mencari sekurang-kurangnya satu mata sebelum wisel penamat ditiup pengadil perlawanan, Syed Azhar Syed Kamar.
Pada pertembungan itu, tiga kad kuning dilayangkan pengadil perlawanan, dua kepada pasukan T-Team ( Muhammad Hafizan dan Muhamad Naim) manakala satu kepada pemain Lion XII (Safirul Sulaiman).