Powered by Jasper Roberts - Blog

Hot! Neelofa dan Anzalna kini berdamai

Jom! comments



Hasrat Persatuan Seniman untuk melihat dua pendatang baru dalam dunia lakonan, Nur Anzalna Nasir dan Noor Neelofa Mohd Noor berdamai, sudah pun dilunaskan apabila kedua-dua aktres ini ditemukan dalam satu sidang media di Hotel Royal Bintang Damansara, semalam.

Namun, majlis perdamaian itu tidak pula menampakkan kesungguhan kedua-dua bekas Dewi Remaja 2010/2011 ini.

Biarpun permohonan maaf telah diungkapkan oleh Anzalna kepada Neelofa pada majlis tersebut, namun mereka tidak langsung memandang wajah masing-masing apatah lagi bersalaman.

Tak lebih dari sekadar sesi tandatangan akujanji, kedua 'Dewi' ini kelihatan dingin sepanjang majlis berlangsung.

Sebelum Anzalna memulakan pengakuan maaf, Zed Zaidi bagi pihak Persatuan Seniman terlebih dahulu memohon supaya perkara tersebut tidak dipanjangkan dan diselesaikan terus pada hari itu.

Ironinya, sebelum permohonan maaf diungkapkan Anzalna, Neelofa mahu ucapan maaf itu dibuat mengikut skrip yang telah disediakan.

Dengan riak wajah selamba, Anzalna yang ketika itu sudah bersedia membuat ucapan sendiri, berkata, "Oh I kena baca ikut apa yang you tulis eh?"

Tidak memanjangkan perkara itu, Anzalna terus mengambil skrip yang disediakan dan membaca kenyataan rasmi tersebut yang bertulis;

Saya Anzalna Nasir dengan nasihat daripada Seniman ingin memohon maaf kepada Neelofa kerana mengeluarkan kenyataan di Berita Harian pada 10 Jun 2012 di muka surat 10 yang telah menjejaskan maruah Neelofa dan keluarganya, dan saya tiada bukti kukuh untuk menyokong kenyataan tersebut.'

Sementara itu, Neelofa yang berpuas hati dengan permohonan maaf tersebut bersyukur apabila perkara itu sudah berakhir.

Menganggap tindakannya itu perlu sebagai mempertahankan diri dan maruah keluarga, Neelofa mengatakan kini terbukti dirinya berada di pihak yang benar.

Majlis diakhiri dengan ucapan Zed Zaidi yang menyimpulkan perkara itu sudah pun selesai dan kedua-dua artis ini perlu mematuhi syarat yang terdapat dalam akujanji.

Neelofa teragak-agak?

Sebaik sahaja majlis tersebut selesai, kebanyakan media terus mengerumuni Neelofa bagi mendapatkan maklum balasnya mengenai hal itu.

Sewaktu ditanya adakah dia ikhlas memaafkan Anzalna, Neelofa kelihatan teragak-agak menjawab.

Namun, katanya, selepas hal ini selesai, dia dengan rela hati memaafkan Anzalna dan tidak kisah untuk bertegur dengan pelakon itu jika bertembung di mana-mana majlis.

“Sebenarnya ini benda lama. Jadi, saya tidak pernah fikir perkara ini akan timbul kembali. Ia sebenarnya sudah lama hilang.

“Namun, selepas dibangkitkan semula hal ini, saya perlu pertahankan diri dan keluarga. Dan saya bersyukur majlis hari ini diadakan seperti apa yang saya mahukan,” katanya merujuk kepada permohonan maaf yang dibuat oleh Anzalna.

Sementara itu, sewaktu ditanya mengapa dia tidak mahu merakamkan gambar bersama Anzalna bagi membuktikan keduaduanya sudah berdamai, pelakon filem Azura ini mengatakan hanya mengikut tentatif yang disediakan oleh pihak Seniman.

Anzalna sebak

Saat ditemu ramah mengenai perasaannya selepas hal tersebut selesai, Anzalna menitiskan air mata.

Jujur mengakui tidak mahu memanjangkan lagi perkara tersebut, gadis yang hadir ditemani kakaknya ini mengatakan tidak mahu melibatkan lebih ramai orang lagi dalam pertelingkahan mereka.

Menerima perkara itu sebagai satu dugaan buat pendatang baru sepertinya, Anzalna dengan rela hati menerima nasihat daripada Seniman untuk memohon maaf kepada Neelofa dan mengakui akan lebih berhati-hati selepas ini.

“Alhamdulillah, perkara ini sudah pun selesai. Saya tidak mahu memanjangkan isu ini kerana akan mengaitkan lebih ramai orang lagi.

“Apa yang saya lakukan pada hari ini adalah semata-mata kerana Allah, kerana tahu hidup di dunia ini hanya sementara.

Saya tidak mahu mengaibkan lebih ramai orang.

Namun, minta maaf bukan bermaksud kalah,” katanya yang begitu sebak selepas majlis tersebut selesai.

Pemotong rumput jumpa mayat dalam bungkusan plastik

Jom! comments

Gambar Hiasan
Mayat seorang lelaki dipercayai rakyat asing ditemui dalam satu bungkusan plastik di Kilometer 65 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini, Jumaat.

Mayat lelaki berusia 40-an itu dijumpai oleh seorang pekerja kontrak yang sedang memotong rumput di kawasan itu pada pukul 10.50 pagi.

Ketua Polis Daerah Pendang DSP Abdul Aziz Ahmad berkata mayat itu dijumpai dalam keadaan berpakaian lengkap iaitu berbaju dan berkain sarung serta terdapat bantal dan tilam nipis dalam bungkusan itu.

"Pekerja kontrak itu ternampak kaki mayat dan terus membuat laporan polis. Berdasarkan keadaan mayat yang tidak berbau, kami percaya lelaki itu mati dalam tempoh 24 jam yang lalu. "Kami masih berusaha mengesan identiti mayat kerana tiada dokumen pengenalan diri dijumpai. Tiada kesan cedera atau darah pada mayat itu," katanya ketika dihubungi di sini, Jumaat.

Beliau berkata mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu atau kehilangan anggota keluarga supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. -BERNAMA

Konkrit banglo runtuh 1 maut 5 selamat

Jom! comments


Konkrit banglo diubah suai runtuh, satu maut 5 selamat

Seorang pekerja ubah suai rumah maut manakala lima yang lain selamat dalam kejadian konkrit banglo di Seksyen 7 di sini, yang masih dalam proses pengubahsuaian, runtuh kira-kira jam 4.30 petang tadi.

Bagaimanapun seorang daripada lima mangsa yang selamat terputus kaki dan telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan.

Kesemua mangsa merupakan pekerja dari Indonesia, berusia dalam lingkungan 30-an.

Kejadian berlaku di Jalan JED, 7/5, Seksyen 7, berhadapan dengan Kolej Kediaman Jati, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Mangsa dikeluarkan secara berperingkat sejak jam 4.50 petang tadi dengan bantuan bomba. Kerja-kerja mencari dan menyelamat masih diteruskan.

Sementara itu, laporan Bernama dipetik berkata, polis mengesahkan mangsa sebenar kejadian runtuhan bumbung konkrit sebuah banglo hanya melibatkan enam pekerja binaan warga Indonesia.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Zahedi Ayob berkata, pada mulanya, pihaknya mendapat maklumat terdapat lapan pekerja terperangkap dalam kejadian itu tetapi kemudian dimaklumkan rakan sekerja mereka dikenali sebagai Supardi bahawa hanya enam mangsa yang terlibat.

Mangsa terakhir dikenali sebagai Kasmuji berjaya diselamatkan pada 10.15 malam dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

Dalam kejadian petang tadi, seorang buruh binaan yang dikenali sebagai Totok Mochamad Anthony maut.

Mayat mangsa dikeluarkan pasukan penyelamat kira-kira 6.24 petang dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk bedah siasat.

Empat lagi pekerja binaan berusia lingkungan 30-an yang dikenali sebagai Afifin, Waras, Kabir dan Ghadami, yang putus kaki kanan, turut dihantar ke hospital itu.

Polis menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada kira-kira 4.29 petang berhubung kejadian di banglo No. 15, Jalan Jed 7/5A, Seksyen 7, milik seorang ahli perniagaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Othman Abdullah berkata, operasi menyelamat dihentikan pada 10.45 malam selepas mangsa keenam dibawa keluar dari runtuhan.

Beliau berkata, pihaknya menggunakan kren dengan kekuatan 40 tan bagi mengangkat runtuhan konkrit selain membuat terowong secara manual untuk menyalur bantuan gas oksigen kepada mangsa terakhir sebelum dibawa keluar.

"Konkrit agak berat termasuk dengan timbunan batu dan bomba terpaksa memotong beberapa bahagian runtuhan dalam keadaan sempit, kren pertama yang kita gunakan ialah bagi kekuatan 10 tan dan tidak membantu," katanya.

Beliau berkata, pihak bomba memanggil mangsa namun tidak disahut dan tiada sebarang tindak balas bagi mengesahkan masih ada yang terperangkap di bawah runtuhan itu.

Othman juga berkata, kerja pembersihan di kawasan runtuhan itu akan diteruskan sepanjang malam ini.

Operasi menyelamat, yang bermula kira-kira 5 petang, diteruskan walaupun hujan lebat bermula 9 malam.

Selain itu, khidmat anjing pengesan Unit K9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor digunakan sepanjang operasi tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, ketika kejadian beliau sedang membaca akhbar dan mendengar bunyi dentuman kuat dari arah depan rumahnya.

“Mula-mula saya lihat tidak serius, hanya debu sahaja kelihatan. Tetapi setelah melihat bumbung rumah tersebut runtuh.

“Saya terus hubungi bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia untuk maklumkan kejadian,” katanya ketika ditemui  di lokasi kejadian.

Denaihati.com

 
Google PageRank Checker Powered by  MyPagerank.Net