Aaron Aziz terpaksa tinggalkan perfileman tempatan-Peminat Aaron Aziz mungkin harus menerima kenyataan pedih andainya satu hari nanti dia terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada industri perfileman tempatan.
Namun, perkara itu masih samar-samar dan jika berlaku sekali pun, ia bukanlah dalam waktu terdekat. Ditemui di set penggambaran filem arahan Ahmad Idham, Lari, di Kuala Perlis baru-baru ini, Aaron mendedahkan dirinya dilamar pengarah lagak ngeri Thailand, Nong, yang turut terbabit dalam projek terbitan Excellent Pictures itu, untuk menjayakan judul aksi dari negara jiran itu.
Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 itu tertarik dengan tawaran berkenaan kerana ia bakal menjadi titik permulaan buat kerjaya lakonannya ke peringkat antarabangsa. Bagaimanapun sebelum persetujuan dicapai, pelbagai faktor harus dipertimbangkan.
“Tawaran itu memang menarik, tetapi saya belum dapat memberikan jawapan. Mereka pula merancang memulakan penggambaran tahun depan. Saya perlu melihat jadual kerja terlebih dulu, supaya tidak bertembung dengan ‘job’ yang sudah dijanjikan lebih awal.
“Kalau boleh, memang saya ingin berlakon dalam filem itu. Namun saya tidak boleh mementingkan diri dengan menerima saja tawaran berkenaan, semata-mata untuk mencipta nama di luar negara. Jika ditakdirkan hasrat itu tidak tercapai, saya reda,” katanya yang membawakan watak Khaliff dalam Lari.
Bergaduh betul-betul
Berkampung di Perlis sejak 16 September lalu bagi menyiapkan penggambaran filem yang mengangkat tema pemerdagangan manusia melakar pengalaman baru kepada kerjaya pelakon ini.
Biarpun pernah menjayakan filem aksi menerusi KL Gangster, namun Lari lebih mencabar kemampuannya apabila perlu melakukan aksi pergaduhan membabitkan pukulan serta tendangan sebenar, dengan berpandukan koreografi Nong.
“Penat tetapi puas kerana saya perlu beradu kekuatan dengan pelakon tambahan yang ada asas muay thai. Tidak seperti filem sebelum ini di mana pelakon tambahannya tidak mempunyai asas seni mempertahankan diri.
“Awalnya saya agak bimbang kerana banyak aksinya yang tidak pernah saya lakukan. Saya juga hanya belajar daripada pengarah lagak ngeri ketika di set. Nong seorang yang sistematik dan dia sudah menyiapkan koreografinya di iPad. Setiap babak memaparkan aksi berbeza, jadi saya hanya perlu berpandukan kepada lakaran dibuat.
Bakal jadi bualan
“Saya tertarik dengan filem ini kerana aksi lagak ngerinya setaraf dengan judul dari Thailand dan Hong Kong. Untuk babak bertarung, kami dikehendaki berlawan betul-betul. Contohnya, kami memang betul-betul melayang apabila ditendang.
Bagaimanapun kami diberikan pelapik keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya yang tidak kisah walaupun pernah tercedera sewaktu penggambaran.
Berpeluang meninjau penggambaran filem itu memberi gambaran positif, filem menelan belanja sekitar RM2.5 juta ini mungkin bakal menjadi bualan.
Bagaimanapun, kata Aaron, kejayaan Lari belum boleh diukur dari sudut pembikinan sematamata. Sebaliknya, kejayaan hanya dapat dinilai apabila ia ditayangkan.
Komen Di Sini
Post a Comment
Komehlah dan klik G+ di atas sekali okey^^