Temui bayi beralas kain batik berdarah
YAN: “Hati saya tersentuh sebaik melihat bayi lelaki masih bertali pusat dalam dalam keadaan kesejukan ditemui hanya dialas kain batik yang penuh darah hampir kering dalam tandas lelaki di masjid ini.“Bagaimanapun, bayi itu langsung tidak menangis walaupun bahagian mukanya dihurung semut, malah ada jemaah perempuan yang baik hati sempat menyusukan bayi itu yang kelaparan dan dibawa ke dalam masjid untuk diazankan,” kata Naharah Saad, 57.
Naharah antara individu awal yang menemui bayi lelaki itu dalam tandas Masjid Al Falah, Sungai Daun Atas, dekat sini, jam 6 petang pada 23 Ogos lalu iaitu pada hari raya ke-4 Aidilfitri yang dipercayai ditinggalkan sejurus selepas dilahirkan.
Ini berikutan bayi yang dilahirkan seberat 2.94 kilogram itu ditemui masih bertali pusat, manakalanya urinya dipotong tetapi ditinggalkan tanpa sebarang nota atau dokumen.
Naharah berkata, bayi itu ditemui seorang lelaki bersama keluarganya dipercayai dari Baling yang singgah di masjid berkenaan untuk menunaikan solat terkejut apabila melihat bayi itu berada di belakang pintu tandas ketika mengambil wuduk.
Menurutnya, dia yang ketika itu berbual dengan keluarga terkejut apabila menantunya, Nasir Ghani, 30-an yang ketika itu hendak keluar ke pekan berpatah balik memberitahu ada bayi ditemui di belakang pintu tandas lelaki masjid berkenaan yang terletak 200 meter dari rumahnya.
“Saya tidak sampai hati melihat bayi berkenaan dan anak perempuan saya memberikan kain lampin bayinya menyelimut tubuh bayi itu dan terus menghubungi polis memaklumkan kejadian.
“Ketika dibawa ke dalam masjid, bayi itu membuka matanya, tetapi tidak menangis menyebabkan saya sebak mengenangkan nasibnya yang ditinggalkan ibunya,” katanya.
Katanya, ini kali pertama penemuan bayi di kampung berkenaan, malah dia tidak menyangka kejadian itu berlaku kerana sebelum ini hanya menonton di televisyen dan membacanya di akhbar.
Sementara itu, Pelindung Kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Yan, Norliza Azezool, berkata bayi lelaki berkenaan diberi nama Muhammad Fitri, 18 hari, diserahkan kepada Hospital Yan sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk mendapat rawatan.
Menurutnya, Muhammad Fitri dibenarkan keluar hospital, semalam dan diserahkan semula kepada pihak JKM bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk jagaan sementara.
Katanya, perintah jagaan sementara itu diberi selama sebulan bermula semalam sehingga 8 Oktober depan bagi memberi peluang kepada waris atau ibu bapa kandungnya menuntut semula bayi berkenaan untuk urusan dokumentasi.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Akta Kanak-kanak 2001 dan pihak kami sudah membuat laporan polis berhubung perkara ini pagi tadi (semalam) di Balai Polis Guar Chempedak.
“Justeru, keluarga atau waris bayi berkenaan boleh menghubungi JKM di talian 04-4619510 atau 04-4619512 untuk menyalurkan maklumat,” katanya.- Temui bayi beralas kain batik berdarah
Komen Di Sini
Post a Comment
Komehlah dan klik G+ di atas sekali okey^^