KUANTAN - Seorang pelajar Tingkatan Enam di Lipis ditahan selepas terbabit dalam kes samun dan membelasah teman wanitanya yang juga pelajar sekelasnya.
Dalam kejadian 5.40 petang semalam iu, pelajar perempuan berusia 18 tahun itu dipukul dengan topi keledar di kepala selain ditendang berkali-kali oleh suspek.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Supt Abdul Razak Hassan, suspek turut bertindak melarikan rantai leher mangsa yang bernilai RM1,000 selepas membelasahnya.
"Kes dipercayai gara-gara teman wanita suspek didakwa gagal menjelaskan hutang yang tidak diketahui jumlahnya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Dalam kejadian di Tanjung Lipis, Lipis itu, mangsa ditemani tiga rakannya untuk bertemu dengn suspek bagi menyelesaikan kes hutang yang membabitkan suspek dan mangsa.
"Tiba di tempat berkenaan, suspek terus melenting dan bertindak memukul mangsa. Mangsa yang cedera di kepala dan muka menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lipis," katanya.
Abdul Razak berkata suspek kemudiannya melarikan diri dengan motosikal, bagaimanapun berjaya ditahan pihak polis pada jam 10 malam tadi selepas mangsa membuat laporan polis pada jam 6.10 petang kejadian.
Katanya siasatan awal mendapati suspek mempunyai satu kes jenayah mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan tahun lepas yang bakal dibicara bulan depan.
"Suspek kini ditahan reman di Lokap Balai Polis Kuala Lipis selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya. - Bernama