Juadah ala kampung gamit kenangan
JIKA inginkan juadah enak berbuka puasa cita rasa utara, selatan dan pantai timur di bawah satu bumbung sepanjang Ramadan, Hotel Grand BlueWave, Shah Alam menyajikan suasana kembali ke desa dengan pelbagai hidangan menyelerakan yang menggamit kenangan seolah-olah berbuka puasa di kampung.
Berkonsepkan ala mini Malaysia, chef masakan Melayu, Chef Abdul Rashid Mohd Yusop bersama pasukannya menyediakan hidangan istimewa terpilih seperti nasi beriani gam Batu Pahat, mi rebus Melaka, laksa Johor, nasi minyak diraja, lemang buluh, ketupat palas, nasi dagang, nasi tomato dan rojak pasembur.