Lebuhraya Persekutuan ditutup Isnin dan Selasa - Laluan Lebuhraya Persekutuan di KM6.8 hingga KM6.6 Sungai Rasau (arah Klang) akan ditutup pada Isnin dan Selasa ini bagi membolehkan kerja-kerja pemasangan rusuk jambatan projek pembinaan bertingkat dari Lebuhraya Persekutuan ke Kawasan Pembangunan Seksyen 7 di Shah Alam.
Menurut kenyataan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), hari ini penutupan itu adalah dari 11 malam hingga 5 pagi.
Berikutan itu, satu laluan kontra akan dibuka pada waktu berkenaan di KM6.6 hingga KM6.8 (arah Kuala Lumpur) pada Isnin dan Selasa.
Para pengguna dinasihat mematuhi semua papan tanda serta arahan dikeluarkan oleh PKNS. - Bernama