Salah seorang anak Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K telah bertemu pelakon Rozita Che Wan secara peribadi untuk mengetahui adakah benar wanita itu mahu mengahwini bapanya.
Rozita, 38, berkata, dia terkejut apabila seorang lelaki datang menemuinya di sebuah majlis baru-baru ini bertanyakan kebenaran gosip berkenaan.
"Saya tidak mengenali Datuk K secara peribadi dan begitu juga anak beliau. Dia tiba-tiba menyapa saya di sebuah majlis tertutup dan bertanya mengenai perkara berkenaan," katanya kepada portal redcarpet.net.my.
Rozita sebelum ini pernah dikaitkan dengan Datuk K dan mereka kononnya dikatakan telah berkahwin secara senyap.
Dalam pada itu, Rozita memohon semua media dan penulis blog di negara ini menghentikan spekulasi melibatkan dirinya dengan Datuk K kerana tidak mahu melukai hati penyanyi Siti Nurhaliza.
Siti bersama suaminya, Datuk K pada majlis rumah terbuka di kediaman mereka di Kuala Lumpur.
"Saya tidak mahu menyakiti hati Siti dengan cerita-cerita yang tidak benar sebegini tambahan pula saya memang tidak berminat dengan lelaki yang sudah berkahwin," ujarnya.
Sementara itu, Rozita menjelaskan dia kini selesa hidup sendirian dan akan lebih berhati-hati mencari cinta selepas rumah tangganya hancur sebelum ini.
Rozita berkata, dia sentiasa mengambil pengajaran daripada kegagalan perkahwinannya yang lalu dan mengakui cerewet apabila melibatkan lelaki.
Malah jika ditakdirkan bertemu jodoh dengan duda, dia akan memastikan lelaki tersebut tidak mempunyai anak kerana tidak mahu bergaduh dengan anak-anak tirinya.
"Saya cuma akan berkawan dengan lelaki bujang atau pun duda yang tidak mempunyai anak kerana saya tidak mahu anak-anaknya menghadapi masalah dengan saya.
"Saya tertarik kepada lelaki yang baik, tidak ego dan dapat menjaga rumah tangga dengan sempurna walaupun dia tidak sekaya mana," katanya.
Tambah Rozita, paling penting lelaki yang ingin mendampinginya mestilah boleh menerima dua anak lelakinya yang telah meningkat usia remaja.
"Anak-anak tidak meletakkan kriteria calon suami saya kerana paling penting lelaki itu dapat mengembirakan saya dan menyayangi mereka seperti anak sendiri," ujarnya.