Powered by Jasper Roberts - Blog

Matyo turut tersenarai, Kafa hantar 37 tunai umrah


TRW
Nik Aziz dan Abdul Fattah bersama pemain menunjukkan simbolik angka tiga yang membawa maksud kejuaraan treble dimenangi Kelantan ketika menyampaikan replika cek pakej umrah.
KOTA BHARU – Bekas tonggak The Red Warriors (TRW) musim lalu, Norshahrul Idlan Talaha antara yang berada dalam senarai 37 peserta termasuk pemain dan pegawai pasukan yang dihantar Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) kepada Kerajaan Negeri Kelantan, untuk menunaikan umrah pada Ramadan tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, pakej menunaikan umrah ini dihadiahkan kerajaan negeri atas kejayaan TRW meraih kejuaraan treble dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim lalu.

“Selain Matyo (Norshahrul Idlan Talaha), turut ditawarkan ialah Mohd Nurul Azwan Roya atau Awe di mana kedua-dua pemain ini menyarung jersi pasukan Johor Darul Takzim pada musim ini,” katanya kepada selepas menghadiri mesyuarat mingguan Exco di Kompleks Kota Darul Naim, di sini semalam.

“Kita harap mereka berdua dapat bersama rakan-rakan mereka untuk menunaikan umrah kerana ini merupakan anugerah istimewa daripada pihak kerajaan negeri, setelah Kelantan mencipta sejarah dengan memenangi tiga piala dipertandingkan pada musim lalu.

Sebelum ini, kerajaan negeri pernah menghadiahkan pakej mengerjakan umrah kepada pemain dan pegawai pasukan bola sepak Kelantan, setelah muncul naib juara Piala Malaysia dan Piala FA pada 2009.

Malah pada 2010, kerajaan negeri turut memberikan ganjaran wang tunai RM200,000 kepada pemain dan pegawai pasukan TRW, setelah berjaya menamatkan penantian selama 89 tahun dengan memenangi Piala Malaysia pada musim tersebut.

Abdul Fattah berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada semua pemain dan pegawai pasukan Kelantan, bagi mendapatkan pengesahan daripada mereka untuk menunaikan umrah tidak lama lagi.

Dalam perkembangan sama, Abdul Fattah menjelaskan kerajaan negeri dijangka membelanjakan lebih RM200,000, bagi membiayai pakej menunaikan umrah itu yang ditetapkan pada 7 hingga 14 Julai nanti.

“Kita memutuskan hanya memberi ganjaran berbentuk pakej umrah sahaja dan jika pemain atau pegawai yang beragama Islam tidak berhasrat untuk menunaikan umrah, mereka tidak akan mendapat apa-apa ganjaran atau ganti rugi dalam bentuk wang tunai daripada kerajaan negeri.

“Bagi pemain dan pegawai pasukan bukan beragama Islam yang tidak menyertai rombongan ini, mereka akan mendapat ganjaran wang tunai setara dengan nilai pakej umrah tersebut,” katanya.
Ranking: 5

Comments:3

Post a Comment

Komehlah dan klik G+ di atas sekali okey^^

Denaihati.com

 
Google PageRank Checker Powered by  MyPagerank.Net